Monday, July 19, 2010

Megan, Green pasangan sesuai

PASANGAN baru berkahwin, Megan Fox dan Brian Austin Green memang dijadikan untuk satu sama lain, kata rakan mereka.

MAJLIS PENUH INTIM...Megan dan Brian berkahwin dengan Kassius menjadi satu-satunya saksi di majlis itu di Hawaii, bulan lalu.
MAJLIS PENUH INTIM...Megan dan Brian berkahwin dengan Kassius menjadi satu-satunya saksi di majlis itu di Hawaii, bulan lalu.
sebelum - selepas
MEGAN dengan pakaian pengantinnya berjalan di Pantai Kona, Hawaii.


MEGAN dengan pakaian pengantinnya berjalan di Pantai Kona, Hawaii.
Pasangan itu yang berpacaran dan putus beberapa kali selama menjalinkan hubungan beberapa tahun, berkahwin di Resort Four Seasons di Hawaii dengan Kassius, anak Green hasil hubungannya dengan Vanessa Marcil sebelum ini, menjadi satu-satunya saksi.

Rakan rapat yakin rumah tangga yang dibina itu akan menjadikan mereka antara pasangan di Hollywood yang berkekalan hingga akhir hayat.

"Kegembiraan mereka menjangkau sangkaan kami. Mereka kelihatan selesa antara satu sama lain. Mereka sejak dulu lagi tahu mereka dijadikan untuk berpasangan.

"Megan memang sukakan kehidupan berkeluarga dan begitu gembira dia akhirnya mempunyai cincin perkahwinan pada jarinya," kata sumber yang rapat dengannya.

"Dia gembira dapat menjadi ibu tiri kepada Kassius dan berkata, adalah satu rahmat jika dia dikurniakan anak sendiri."Pelakon berusia 24 tahu itu dalam satu wawancara sebaik pulang dari berbulan madu berkata, dia sudah menjadi ibu tiri sepenuh masa.


"Saya menjaga Kassius sejak dia berusia tiga tahun lagi. Dia tidak ada ingatan mengenai kehidupan lain kecuali dengan saya. Kerana beberapa alasan yang saya sendiri tidak tahu, tidak ada orang yang melihat peranan saya itu. Apa yang berlaku selama ini ialah saya yang bertanggungjawab membesarkannya dan saya tidak pernah mengeluh menguruskannya, daripada membacakan buku cerita sebelum tidur hingga menyiapkan dia untuk ke sekolah," katanya.

Mengenai langkah dia memilih Green sebagai suami, Megan berkata: "Dalam hidup saya, hanya ada dua lelaki yang pernah saya cinta. Seorang kekasih ketika saya masih kanak-kanak dan yang kedua ialah Brian.


"Saya tidak rela mengadakan seks dengan orang yang saya tidak cinta. Saya tidak sekali-kali akan melakukan demikian. Ia menjijikkan saya."

Sementara itu, seorang rakan pelakon itu berkata Megan sudah kemaruk untuk mengandung dan mempunyai anak bersama Brian.

"Mereka sudah membina bilik bayi di rumah mereka di Hollywood Hills," kata rakannya itu.

Bagaimanapun Megan menyangkal laporan berkenaan.

"Saya tidak tahu dari mana laporan itu datang. Memang saya suka mempunyai anak. Tetapi saya perlu melakukan lebih banyak, seperti mempromosikan diri saya sebagai pelakon. Saya mahu beberapa waktu untuk diri saya sebelum bersedia untuk melahirkan anak," katanya kepada majalah OK! edisi Britain.

Dalam wawancara berkenaan, Megan juga berkata, menjadi terkenal adalah sama dengan keadaan ketika belajar di kolej.

Dia gemar berlakon dalam filem tetapi rimas dengan karier itu yang menjadikan dia selebriti.

Katanya, dia benci dijadikan bahan gosip dan sengaja mengelak menghadiri parti di Hollywood kerana tahu setiap gerak gerinya dan apa yang dia kata akan menjadi bahan oleh media.

"Saya bekerja keras kerana mahu mencapai kejayaan setinggi mungkin dalam karier saya. Tetapi saya tidak selesa dalam situasi sosial dan kerana itu saya sengaja tidak keluar sebarangan di Hollywood.

"Saya suka bersendirian dan kekal dalam dunia kecil saya sendiri. Namun, dalam keadaan seperti itu juga saya menjadi bahan gosip. Saya kadang kala merasakan diri saya masih terperangkap di kolej dan tidak boleh melarikan diri."

Dia juga mengaku hanya dipuji kerana kecantikan dan tubuhnya yang seksi, bukan kerana bakat berlakonnya. Bagaimanapun, dia tidak peduli mengenai hal itu.

"Memang saya sedar saya tidak memberi sesiapa alasan untuk memuji bakat berlakon saya. Jika saya mengadu, 'Mengapa tidak ada orang mengiktiraf saya sebagai aktres?' sudah tentu ia memalukan.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk tidak menyoal demikian, sebaliknya membuktikan sendiri kemampuan saya sehingga mereka memuji lakonan saya," katanya.

Megan yang digugurkan daripada siri filem 'Transformers' akan muncul dalam filem indie, 'Passion Play' bersama-sama Mickey Rourke dan Bill Murray tidak lama lagi juga mengaku tidak berhasrat menjadi terkenal dan tidak gemar diwawancara.

"Memang ada orang yang suka dan seronok menjadi selebriti. Ada pula orang yang menjadi terkenal kerana tidak sengaja. Saya adalah orang yang kuat melindungi privasi saya. Kerana itu saya tidak suka ditemuramah. Lebih-lebih lagi pengalaman saya dengan media setakat ini, apa juga yang saya kata, meskipun niat saya baik, sering dimanipulasi dan disensasikan dan akhirnya menjadi cerita karut.

"Ia menyebabkan saya terfikir untuk tidak membuka mulut atau bercakap lagi memandangkan apa juga yang saya cakap menjadi skandal. Ia membosankan saya," katanya.

1 comment:

Sharinginfoz said...

yang penting happiness kan