Saturday, October 16, 2010

Remy-Tiz mula pegang-pegang


KELIBAT Remy dan Tiz berpegang-pegang dilihat umum ketika mereka sama-sama menyaksikan acara Moto GP yang diadakan di Sepang pada 10 Oktober lalu. Berkasihankah mereka?


BERGANDINGAN di televisyen sudah, di filem pun sudah. Nampak keserasian dan jelas ikatan kimia itu sudah terjalin dengan baik. Tapi ini bukan hal bergandingan dalam naskhah drama Nur Kasih atau produksi lain, ada sumber yang mendakwa terserempak Remy Ishak dan Tiz Zaqyah bergandingan tangan ketika menyaksikan acara MotoGP pada tanggal 10.10.10 baru-baru ini.

Sudah adat mata melihat pastilah ingin menyaksikan pemandangan yang indah. Menurut sumber Diva, sedang dia asyik memerhatikan awek-awek yang menarik di sekitar acara Moto GP, dia terpandangkan seorang gadis putih gebu berpegangan tangan dengan seorang lelaki perkasa. Bila ditilik-tilik, rupanya dia kenal benar dengan dua jasad yang berada di depannya.

Terus dia terimbaskan kembali ikatan kasih sayang Remy Ishak dan Tiz Zaqyah dalam kisah Nur Kasih. Tidaklah dapat dipastikan sama ada mereka berdua ini sudah mendapat nur untuk membina perhubungan cinta. Tetapi kata sumber Diva, aksi berpegangan tangan mereka sudah jelas menunjukkan mereka seperti berada dalam sebuah perhubungan yang suci.

Setahu Diva, Tiz dan Remy memang sudah bersahabat baik sejak sama-sama menjadi tunjang drama berkenaan, lantas persahabatan itu terbawa hinggalah ke luar lokasi dan selalulah mereka bertanyakan khabar jika jarang bertemu.

Mata Diva masih lagi nampak mereka sebagai teman baik. Tetapi apabila diberitakan tentang acara berpegangan tangan di bawah sinaran cuaca matahari yang terik Ahad lalu, tak mustahil juga, itu kata hati Diva. Tak salah pun kalau mereka ini mahu berkasihan kerana masing-masing tidak ada komitmen. Tetapi nasihat Diva, kalau benar mereka bercinta janganlah berahsia. Takut pelbagai cerita keluar nanti.

Sebelum ini Remy pernah dikaitkan dengan beberapa wanita dan Tiz pula pernah menempa kontroversi dengan kekasih orang, jadi Diva tidak mahu nama mereka kembali keruh.

Diva: Tahniah buat Remy kerana dilantik duta produk Dashing.


Friday, October 8, 2010

Maher Zain Pernah Lalai




TIGA tahun lalu, dia pernah terbuai dengan keseronokan duniawi. Bergelar pengunjung tegar pusat hiburan, meneguk minuman beralkohol serta menjadikan najis dadah sebagai peneman, penyanyi dan produser yang berhasil menghipnos pengikut dari seluruh dunia, Maher Zain, 29, secara terbuka berkongsi kekhilafan dirinya.

Berterus-terang, tidak pernah terlintas di ruang fikirnya ingin berdampingan dengan gelaran anak seni. Jejaka kacak berketurunan Lebanon dan dibesarkan di Sweden itu, sebaliknya punya alasan sendiri untuk tegak berdiri dalam belantika hiburan lantas mengalunkan kelunakan vokalnya yang dibalut puji-pujian kepada Sang Pencipta.

"Tiga tahun lalu, saya jauh daripada Allah kerana melakukan banyak perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Saya juga bergaul dengan orang tidak baik. Malah, paling menyedihkan saya tidak ingat dengan bacaan Al-Fatihah. Bayangkan, sampai macam itu sekali. Saya akui keadaan ini agak serius sekali gus membimbangkan diri.


MAHER ingin terus memperbaiki diri dalam berkarya.


"Tidak lama kemudian, saya rasa teramat kekosongan. Apa tidaknya, saya melihat diri ini tidak sama dengan kawan lain sampaikan kami pernah berselisih faham sesama sendiri apabila mempersoal tentang cara hidup dan persekitaran tidak betul ini. Selepas itu, saya diperkenalkan kepada RedOne lantas bekerja di sampingnya bagi menerbitkan album artis lain.

"Dalam waktu sama, saya sering mengunjungi sebuah masjid dan bertemu rakan-rakan baru. Mereka banyak memberi nasihat kepada saya agar kembali kepada asal-Nya. Justeru, saya mula lebih mengenal diri sehinggakan timbul kesedaran untuk berkarya," katanya ketika ditemui pada pelancaran album Thank You Allah di Menara Kuala Lumpur Selasa lalu.

Dan bukan calang-calang. Dianugerahkan selautan bakat seni, graduan Sarjana Kejuruteraan Aeronautik ini terinspirasi untuk menghasilkan lagu-lagu bersalut keagamaan dan kerohanian dalam perspektif berbeza. Lebih menarik, setiap karya dibikin Maher, ia terkait dengan kisah yang pernah dialami sendiri di alam realiti.

"Dengan muzik merupakan sebenar minat saya, tiada salahnya kalau membikin lagu yang bersangkutan dengan ajaran Islam termasuk meluahkan seluruh kecintaan kepada Allah, alam semesta, pasangan, keluarga, sahabat handai dan sebagainya. Lebih indah kalau saya mahu menampilkan pembaharuan," lekas sahaja jawabnya.


MAHER sempat mendendangkan lagu popular yang berjudul Insya-Allah di hadapan pihak media dan peminat.


Boleh dianggap mencipta gelombang sehingga dia sendiri terkena refleks kemasyhuran, Maher tidak pernah sesekali menebak dia mampu berada pada tangga sekarang. Kemunculannya dalam dunia serba-serbi glamor, akuinya, hanya ingin berkongsi kebolehan kepada peminat. Tiada lain, itu sahaja yang berputar dalam fikirannya.

"Sejujurnya, saya tidak sangka dengan penerimaan positif daripada peminat termasuk di Malaysia apabila berkecimpung dalam arena seni sejak dua tahun lalu. Sukar hendak digambarkan perasaan ini. Yang penting, saya sentiasa berpegang kepada niat - menyalurkan mesej tertentu dalam membikin lagu kepada pendengar.

"Begitupun, saya sentiasa sedar diri. Sebenarnya masih panjang lagi perjalanan saya dalam industri ini. Saya harap dapat terus menyumbangkan lebih banyak karya berkualiti sambil menyelitkan elemen dakwah. Saya ingin memfokuskan terlebih dahulu terhadap nyanyian dan penerbitan," ujar Maher yang selesa menjunjung jalur R&B dan soul.

Konsert perkenalan

Selain hadir ke bumi Malaysia untuk melancarkan album debutnya, Maher juga bakal menghiburkan peminat menerusi konsert mini Save The Soul yang bakal berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 14 dan 15 Oktober ini. Dibawa oleh Raudhatus Sakinah, penghibur terkenal tanah air, Aishah menjadi artis pembuka tirai.

Cukup mengejutkan apabila tiket mini konsert tersebut telah habis dijual dalam waktu singkat. Maher juga ketika ditemubual, tidak berupaya menyembunyikan kegembiraannya sehingga tidak sabar untuk bertandang semula ke negara ini sambil merealisasikan konsert berskala gergasi dengan menghadirkan bunyi-bunyian orkestra.


BARISAN wakil dari Menara KL juga tidak ketinggalan mengabadikan gambar bersama Maher.


"Konsert mini ini dianggap sebagai acara kecil memperkenalkan diri saya kepada peminat di Malaysia. Saya bakal menyanyikan sebanyak lapan buah lagu secara minus one daripada album Thank You Allah. Ia sengaja dibuat dalam suasana santai supaya saya dapat menghiburkan peminat secara lebih dekat pada persembahan ini.

"Pada pendapat saya, sebuah konsert tidak kiralah bersaiz biasa, atau sebaliknya, ia perlu dilakukan terutama kepada artis baru seperti saya. Tidak terkecuali, saya ada perancangan untuk mengadakan persembahan lebih besar pada masa akan datang. Insya-Allah, mungkin awal tahun depan," sahutnya penuh harap.

Menandatangani kontrak dengan rumah penerbitan, Awakening Records sejak setahun lepas, Maher yang telah mengukir populariti di negara Eropah dan Timur Tengah turut menzahirkan keterujaan apabila berkesempatan melibatkan diri pada mini konsert tersebut. Tambah Maher: "Hanya Tuhan saja tahu betapa bersyukurnya saya dapat berada di Malaysia

Wednesday, October 6, 2010

Angkasawan kawin ahad ini?

Majlis Perkahwinan Gemilang Angkasawan Negara Ahad Ini di TV3

Paparan Eksklusif Menerusi NONA dan Selepas Buletin Utama

Pastinya 10 Oktober 2010 merupakan satu tarikh keramat buat Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan juga tunangnya, Dr Harlina Mohd Yunos yang bakal menaiki jinjang pelamin selepas bertunang sejak 1 Januari 2010 yang lalu. Malah tarikh 10.10.10 juga dilihat sebagai sesuatu yang amat menarik kerana bukan sahaja bakal menjadi ulangtahun perkahwinan pasangan yang diraikan ini, secara kebetulan, ia juga merupakan ulang tahun ketiga Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke angakasa lepas (2007).

Dengan jemputan seramai 10,000 orang dan dilengkapi persiapan secara besar-besaran, perkahwinan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Harlina Mohd Yunos boleh diisytiharkan sebagai ‘wedding of the year’. Istimewa untuk para peminat dan semua penonton di Malaysia, kini anda boleh saksikan sendiri acara gilang-gemilang ini menerusi siaran langsung khas yang dibawakan eksklusif oleh TV3 pada hari Ahad ini.

Jangan lupa menyaksikan detik bersejarah ini bemula pukul 2.00 petang Ahad ini di TV3 menerusi slot program NONA yang bakal dihoskan oleh Siti Hasfizza Aswaty Sabjahan (Fiza WHI) membawa kita ke belakang tabir di sebalik persediaan dan proses perancangan majlis gilang-gemilang bermula daripada hari pertunangan yang bertempat di Hotel Allson Klana, Seremban, Negeri Sembilan Januari lalu termasuklah majlis akad nikah yang akan diadakan di Masjid ‘Besi’ Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 11.00 pagi. Ikuti laporan eksklusif Fiza Sabjahan yang turut berada di sekitar majlis pernikahan di TV3 hanya beberapa jam selepas angkasawan pertama Negara sah bergelar suami.

Turut dipaparkan di dalam segmen petang yang dibawakan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC) adalah penceritaan menarik dan kenangan manis kisah cinta romantis Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang akhirnya bertemu jodoh dengan pasangan yang dikasihi, Dr Harlina Mohd Yunos. Kenali kedua mempelai menerusi laporan Fiza yang turut memuatkan profil individu dan senarai pencapaian dan kejayaan yang pernah diperolehi masing-masing. Uniknya, penonton juga berpeluang berkongsi keseronokan dan detik bahagia kedua pasangan dengan mengikuti cerita menarik di sebalik persiapan menjelang hari perkahwinan termasuklah pilihan busana di hari pernikahan dan majlis persandingan yang turut melibatkan beberapa pereka fesyen tempatan yang terkenal seperti Putra Cosry, Datuk Bernard Chandran dan ramai lagi. Bagi mereka yang berminat, inilah peluang untuk mengenali dengan lebih dekat pengurus dan krew yang turut bergabung tenaga dan kreativiti dalam menjayakan majlis gilang-gemilang ini.

Tentunya laporan petang Ahad yang bermula jam 2.00 petang merupakan pemanas kepada acara kemuncak yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang turut mengkagumi usaha dan jasa angkasawan pertama Negara selama ini. Sebaik selepas berakhirnya siaran berita Buletin Utama, teruskan menonton siaran langsung majlis resepsi dan pesandingan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Harlina Mohd Yunos di bawakan khas dari Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya.

Menampilkan Ahmad Fedtri Yahya dan Nurul Syuhada sebagai pengantara majlis, ikuti laporan eksklusif mereka bermula jam 9.00 malam hingga 10.00 malam. Bermula daripada susunan aturcara majlis yang diterajui oleh Dato’ Mahadzir Lokman, nantikan ketibaan pengantin di dewan yang dihiasi indah berkonsepkan ‘istana kayangan’ dan diiringi oleh paluan kompang, gurindam, bunyian orkestra dan juga selawat dan marhaban ke atas nabi Muhammad S.A.W.

Majlis persandingan turut memaparkan istiadat menepung tawar oleh kedua belah pihak keluarga dan juga barisan tetamu jemputan khas yang turut memeriahkan lagi majlis seperti Perdana Menteri Malaysia dan isteri iaitu Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dan ramai lagi. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan acara makan beradap pengantin di mana ketika ini mereka bukan sahaja disajikan dengan juadah yang enak malah turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada artis tanahair tersohor diikuti dengan majlis memotong kek oleh kedua pengantin sebelum majlis ‘wedding of the year’ ini melabuhkan tirainya.

Laporan eksklusif majlis resepsi dan persandingan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Harlina Mohd Yunos ini menampilkan Syarida Shariff (Sherry) sebagai penerbit dan Puan Siti Hatija Yusof yang bertindak sebagai penerbit eksekutif serta turut dibantu oleh tenaga warga kerja Primeworks Studios dan TV3.

Bagi peminat dan rakyat tempatan mahupun yang berada di luar negara, anda juga berpeluang untuk melihat foto eksklusif sekitar majlis pernikahan dan majlis persandingan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Harlina Mohd Yunos di laman web rasmi: www.tv3.com.my atau portal gaya hidup terkini : www.gua.com.my pada hari Ahad ini. Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini dan liputan langsung majlis resepsi dan persandingan bersejarah di laman web eksklusif bermula 9.00 malam hingga 10.00 malam.