Saturday, July 3, 2010

Aizat Nafi Jatuh Hati

Penyanyi remaja popular, Aizat sekali lagi dilanda gosip apabila dikatakan telah jatuh cinta dengan seorang penyanyi wanita popular. Gosip ini timbul tidak lama selepas dia mengeluarkan kenyataan tentang status hubungannya dengan Liyana Jasmay.

Mengulas tentang gosip tersebut, Aizat yang ditemui baru-baru ini menafikan perkara itu. Menurut pemenang Anugerah Juara Lagu 24 ini, buat masa ini dia hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya.

“Terus terang saya katakan, saya tidak menjalin hubungan cinta dengan sesiapa buat masa ini. Kalau ada pihak katakan saya rapat dengan seseorang, saya tidak nafikan. Tetapi hubungan itu hanya setakat hubungan profesional, untuk berkolaborasi. Bukan atas sebab peribadi atau selain daripada itu. Buat masa ini saya tidak mahu fikirkan soal cinta. Saya dengan Liyana Jasmay dulu pun tidak bercinta, tetapi orang sudah salah anggap.

“Tahun ini saya perlu capai matlamat saya terlebih dahulu sebelum fikirkan perkara-perkara lain. Pertama, saya mahu jelajah seluruh Malaysia untuk bertemu peminat dan mempromosikan album terbaru. Siri jelajah ini akan bermula selepas Aidilfitri ini. Satu lagi matlamat saya ialah saya mahu masuk pasaran Indonesia. Sekiranya berjaya, saya akan masuk pasaran Singapura pula. Jadi, banyak strategi yang perlu saya fikirkan daripada berfikir tentang cinta,” jelas Aizat.

Sementelah Aizat membuka cerita tentang album terbarunya, dia diminta mengulas lanjut tentang perkara itu. Menurut Aizat, album terbarunya berjudul ‘Urusan Aizat Amdan’ memuatkan tujuh buah lagu yang seratus peratus dihasilkan sendiri bersama abangnya, Anas.

“Lagu-lagu dalam album terbaru ini mempunyai banyak mesej dan saya menganggap ia lebih serius berbanding album ‘Percubaan Pertama’ dahulu. Album kali ini sangat berbeza. Banyak mesej kemanusiaan. Sebenarnya, saya tidak mempunyai sebab tertentu memillih konsep serius ini.

“Apa yang saya hasilkan dalam album terbaru ini mewakili perasaan saya ketika menyiapkan album ini. Mudah-mudahan, ia boleh diterima oleh peminat di luar sana,” ujar Aizat yang akan melancarkan album pada 7 Julai hadapan.

Sertai ‘Kempen Bebaskan Bumi Palestin’
Dalam perkembangan lain, Aizat mengikuti jejak langkah Faizal Tahir apabila turut sama dalam ‘Kempen Bebaskan Bumi Palestin’. Walaupun ia bukan berbentuk wang ringgit, namun usaha dan cetusan idea yang hadir dalam dirinya diharapkan membuka mata rakyat Malaysia mengenai kempen ini.

Aizat menyumbangkan sebuah lagu yang diberi judul “Erti Hari Ini” yang liriknya menyentuh tentang kehidupan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. Melalui lagu ini, Aizat telah menghasilkan sebuah muzik video yang memaparkan beberapa babak tragis yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Mengulas tentang penglibatannya, Aizat yang ditemui ketika rakaman muzik video itu memberitahu, ini adalah caranya memberi sokongan kepada kempen yang dinaungi oleh TV3 itu.

“Sama seperti orang lain, saya juga melihat segala kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Palestin adalah sesuatu yang kejam dan tidak adil. Bagi saya, kita harus bersatu untuk menentang penindasan ini. Saya tidak mampu berpidato atau bersyarah untuk tujuan ini, jadi inilah cara yang mampu saya lakukan. Saya harap dengan adanya lagu dan muzik video ini, ia akan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keseriusan kempen ini.

“Lagu “Erti Hidup” ini sebenarnya sudah lama saya cipta dan ia turut dimuatkan dalam album terbaru. Apabila TV3 berjumpa saya untuk sertai kempen ini, saya terus bagi lagu ini dan mereka menyukainya. Lagu dan lirik ini saya hasilkan bersama abang saya, Anas. Saya dan abang hasilkan lagu ini kerana tersentuh dengan penderitaan kanak-kanak di Palestin,” katanya.

Muzik video “Erti Hidup” diarahkan oleh Douglas Khoo, pengarah yang mengarahkan muzik video “Sampai Syurga” (Faizal Tahir) dan “Hanya Di Mercu” (Ayu OIAM) sebelum ini.


No comments: