Wednesday, July 7, 2010

Saham Neraka

Berlakon di bawah arahan pengarah hebat pastinya memberikan tekanan kepada seseorang pelakon. Apatah lagi jika pelakon tersebut masih mentah dalam dunia lakonan.

Namun tidak buat penyanyi serta pelakon remaja yang semakin meningkat popular, Akim apabila berpeluang berlakon di bawah bimbingan pengarah berkaliber Erma Fatima di dalam telemovie 'Saham Neraka' yang bakal ditayang di TV3 melalui slot Cerekarama tidak lama lagi.

Menurut Akim, Erma yang sebelum ini pernah mengarahkan filem 'Embun' dan 'Jimi Asmara', disifatkannya sebagai seorang pengarah yang kreatif dan dalam masa yang sama cukup teliti dengan kerja-kerja pengarahan yang dilakukannya.

"Pada saya Kak Erma bukanlah seorang pengarah yang garang tidak bertempat. Sebaliknya dia seorang yang tegas dan dalam masa yang sama sangat berfikiran terbuka.

"Sebagai seorang pelakon baru dan masih mentah dalam bidang ini, saya mendapat banyak tunjuk ajar daripadanya. Apa yang penting adalah disiplin dan sikap ingin belajar ketika berada di lokasi.

"Saya akui masa hari-hari pertama di lokasi, saya memang rasa gementar. Tetapi apabila sudah bekerjasama dengannya, saya rasa gembira kerana dia langsung tidak memberikan tekanan kepada saya atau para pelakon lain," jelas Akim yang sebelum ini cukup sinonim melalui drama bersiri 'Kau Dan Aku'.

Penyanyi yang popular dengan lagu "Inikah Cinta" dan "Bengang" itu juga bersyukur kerana berpeluang bergandingan dengan pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Hamidah Wahab dan Jue Aziz melalui drama tersebut. Katanya dia berpeluang menimba banyak ilmu lakonan daripada pelakon senior yang tidak pernah lokek memberikan tunjuk ajar.

"Dalam drama ini saya bertindak sebagai pelakon utama iaitu Rozmi yang sangat taksub dengan permainan saham. Oleh kerana sudah terlalu taksub, dia akhirnya menerima padah akibat sikapnya sendiri yang kurang berhati-hati.

"Lebih memburukkan keadaan dia turut melibatkan ahli keluarganya di dalam masalah yang dihadapi. Itulah sebabnya judul drama ini 'Saham Neraka' kerana ia memberikan kesan tidak baik kepada Rozmi," ujarnya.

Serius mahu bergelar komposer
Bercerita mengenai perkembangan terkini kerjaya seninya, dia memberitahu bakal tampil dengan single terbaru, "Janji". Lagu dan liriknya ditulis sendiri oleh Akim yang bercita-cita untuk menjadi komposer hebat pada masa yang akan datang.

"Saya sebenarnya sangat serius dengan bidang seni. Itulah sebabnya saya memberanikan diri untuk menghasilkan lagu-lagu sendiri. Selepas lagu "Inikah cinta" yang mendapat banyak respon positif daripada pendengar, saya cuba ketengahkan pula "Janji" yang berkonsepkan pop tapi menerapkan elemen rock di dalam susunan muziknya.

"Saya menyedari saya mempunyai bakat menulis lagu ketika berada di dalam AF dan daripada situ saya terus kembangkan minat yang saya ada. Buat masa ini saya hanya hasilkan lagu-lagu untuk diri saya sendiri, tetapi pada masa hadapan jika ada permintaan, saya juga mahu hasilkan lagu-lagu untuk penyanyi lain," katanya.

Ditanya mengenai album sulungnya yang sudah sekian lama dicanang bakal dihasilkan tidak lama lagi, Akim tidak berani memberikan jawapan pasti. Katanya walaupun sudah mempunyai tiga buah 'single' sebelum ini, namun itu bukanlah tiket untuknya muncul dengan album solo peribadi.

"Semua penyanyi memang mahu menghasilkan album. Cuma buat masa ini saya perlu bersabar kerana keadaan pasaran muzik kurang memberangsangkan. Sekurang-kurangnya dengan 'single' yang dihasilkan, membuatkan para peminat terus mengingati saya," katanya yang masih bernaung di bawah label, Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB).

No comments: