Sunday, July 4, 2010

Mohd Juara!

Dengan markah keseluruhan sebanyak 71, Mohd atau nama penuhnya Mohd. Izwan Mohd. Nor dan mentornya, Ziana Zain diangkat sebagai juara Mentor 4. Satu keputusan yang barangkali tidak mengejutkan ramai pengikut rancangan realiti terbitan TV3 ini.

Malah diakui Mohd sendiri dalam akhbar Berita Harian hari ini, populariti mentornya itu sedikit sebanyak memberinya kelebihan dalam meraih undian peminat, yang merangkumi 50% daripada markah keseluruhan - 20% dari juri awam dan 30%, undian SMS. Markah selebihnya, sebanyak 50%, adalah daripada juri profesional, yang pada malam ini terdiri daripada Acis, Adibah Noor dan Sheikh Haikel.

Jika hendak dinilai prestasi Mohd pada malam ini, anak muda berusia 22 tahun itu ternyata telah memberikan satu persembahan yang bersungguh-sungguh. Persembahan pembukaannya, ketika mendendangkan lagu barunya, "Cinta" yang dicipta Aswandy dan Sham Kamikaze, memang berjaya meninggalkan kesan yang mendalam ke atas penonton.

Rata-rata komen juri profesional juga positif, dimana Sheikh memuji Mohd sebagai seorang artis yang ada bakat dan stail tersendiri. Namun Sheikh turut mengingatkan Mohd pentingnya untuk dia mencari identiti sendiri selepas ini kerana mendapati sukar untuk membezakan diantara peminat Mohd dan Ziana. Acis pula, selain menasihati Mohd agar perlunya untuk dia memahami lagu yang dibawa, dia juga perlu mencari ton-nya yang tersendiri kerana terlalu mirip dengan bekas-bekas juara lain.

Kemenangan anak kelahiran Johor ini memastikan dia pulang dengan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 serta kontrak rakaman dengan Monkey Bone.

Gelaran naib juara disandang oleh Adi Hamiz Johar, protege Dayang Nurfaizah, dengan 62 markah, dan dia membawa pulang wang tunai RM30,000. Sementara protege Azmeer, Nani yang hanya mengumpul markah keseluruhan sebanyak 51, mendapat RM10,000.



info : gua.com

No comments: