Monday, July 12, 2010

Tidak akan berkemban

wajah Vanidah atau Vee hanya kelihatan dalam telefilem atau filem sahaja. Menurutnya bukan tiada tawaran drama bersiri yang datang tetapi tugasnya sebagai seorang ibu kepada Mikail Imran, 9, dan Maryam Rashika, 6, membataskannya untuk berjauhan dalam tempoh yang lama dengan dua buah hatinya itu.

Namun, tawaran yang datang daripada seorang sahabat yang dikaguminya itu tidak mampu ditolaknya. Apatah lagi, belum pernah dia berpeluang bergandingan dengan Rosyam untuk watak yang cukup besar.

Justeru, drama bersiri yang mengangkat nama watak utama sebagai judul iaitu Isabella, cukup menarik perhatiannya. Akui Vee, dia sebenarnya takut untuk berkata tidak kepada Rosyam.

"Bukan tidak pernah bergandingan dengan Rosyam tetapi belum pernah untuk watak yang besar seperti ini. Ketika Rosyam hubungi saya tahun lepas, dalam hati berdetik biar betul Rosyam mahu saya jadi heroinnya.

"Sebab apa yang saya tahu dia selalu bergandingan dengan aktres muda saja (ketawa). Dia pun sudah kejar saya untuk drama ini sejak tahun lepas, jadi saya tiada alasan untuk menolak, lagi pun jalan cerita cukup menarik," kata Vee yang ditemui pada majlis pelancaran drama Isabella di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Mengakui watak Isabella cukup berat buat dirinya, Vee memberitahu kerjasama yang diberikan Rosyam benar-benar membantunya di lokasi penggambaran.

'Bayangkan sebelum penggambaran Rosyam cakap, saya harus beri komitmen 200 peratus dan kalau saya tidak berjaya bawa watak Isabella, drama ini akan hancur.

"Saya jadi takut sebab kalau tidak berjaya habislah saya (ketawa). Tetapi alhamdulillah, melihat hasilnya saya boleh tersenyum, selepas ini terpulang kepada penonton untuk menilainya," ujar Vee mengenai drama yang menjalani penggambaran selama tiga bulan itu.

Kedinginan kota Paris

Cerita Vee, drama yang turut menjalani penggambaran selama lima hari di luar negara iaitu empat hari di London dan sehari di Perancis benar-benar menguji kemampuannya serta keseluruhan krew penggambaran.


VEE belum pernah bergandingan dengan Rosyam dalam sebarang produksi lakonan yang memerlukan dirinya untuk menghidupkan karakter utama.


Jika di London berlatarbelakangkan London Bridge, Sungai Thames, Big Ben dan Eyes of London. Di Paris pula, tentunya Menara Eiffle menjadi lokasi utama.

Tiada masalah dengan lakonan sepanjang di luar negara, bagaimanapun Vee dan krew harus berdepan dengan cuaca sejuk sehingga mencengkam tulang.

"Kami ingat di Paris sedang musim panas, jadi saya dan krew tidak bawa baju sejuk atau sarung tangan. Apabila sampai sahaja di sana cuaca di sebelah pagi dalam 15 darjah celcius dan waktu pagi dalam 5 darjah celcius.

"Sampai untuk keluarkan dialog pun menggigil-gigil sampai mulut keras tidak boleh bercakap. Sesekali bila angin bertiup, kami semua jadi keras macam batu menahan sejuk," cerita Vee sambil tertawa tentang pengalamannya di Paris.

Ditanya bagaimana bercinta dengan Rosyam yang memegang watak Nazman kekasihnya dalam drama ini, Vee tersenyum dan mengatakan tidak sukar untuknya bercinta dengan Rosyam.

"Senang bercinta dengan abang Rosyam. Dia sangat pemberi jadi tidak secara langsung keserasian antara kami cepat wujud," balasnya.

Disoal pula bagaimanakah dia melakonkan watak Isabella dan dalam masa yang sama menjaga statusnya sebagai seorang isteri dan ibu, Vee menjelaskan dia tidak pernah berhadapan sebarang masalah ketika menjalankan kerjanya sebagai pelakon.

"Memang saya sudah berkahwin tetapi kepercayaan itu harus ada dalam diri setiap pasangan. Macam saya dan suami, kami tahu batas-batas yang harus dijaga jadi tidak timbul sebarang masalah antara kami, sama juga halnya ketika saya berlakon dengan abang Rosyam.

"Sebagai isteri dan ibu, saya meneliti setiap watak yang ditawarkan terlebih dahulu. Saya tidak akan sesekali membawa watak yang memalukan suami dan anak-anak saya di sekolah. Saya juga tidak akan sesekali berkemban di dalam drama mahupun filem," ulasnya lagi.


nota kaki : sumber kosmo

1 comment:

Anonymous said...

kalau dia senang berkemban,aku senang menonton...hahaha