Monday, June 28, 2010

Que akui Linda terlalu cerewet





LEWAT kebelakangan ini namanya dicanang dengan pelbagai spekulasi kurang sihat. Que Haidar didakwa harus berhenti berlakon kerana dipaksa isteri, Linda Jasmine yang dituduh terlalu cemburu. Pasangan yang bernikah tahun lalu ini turut dituduh pernah bergaduh di khalayak ramai. Dan banyak lagi nista yang dilempar kepada aktor hebat ini.

Que atau nama penuhnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 31, tenang dengan segala tuduhan itu. Dia tahu, semua yang diperkata orang kurang tepat. Ini kerana hanya dirinya yang tahu hal sebenar di sebalik isu yang digembar-gemburkan. Sedikit pun Que tidak melenting. Tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, satu persatu hal dihuraikan Que.

"Cemburu dalam rumah tangga itu perlu. Kalau isteri saya mahu cemburukan saya, itu hak dia. Sebab dia isteri saya. Begitu juga saya. Saya pun cemburu kalau lelaki lain pandang isteri saya.

"Tapi kami berdua berjaya mengawal emosi cemburu itu. Jangan tuduh Linda macam-macam. Kasihan dia. Orang patut berfikir, kami datang daripada latar belakang seni yang sama. Linda juga sudah terbiasa bergaul, begitu juga saya. Jadi seharusnya tidak timbul isu dia cemburukan saya untuk berlakon dan sebagainya.

"Macam yang saya katakan tadi, kalau dia cemburu pun, dia berhak. Saya juga berhak cemburu ke atas isteri saya. Tapi kami berdua tahu batas cemburu itu dan tidak pernah membebankan sesiapa," ulas Que tenang tentang isu dirinya dicemburui Linda yang menyebabkan dia kini tidak lagi aktif sebagai pelakon.

Kata Que, keputusan untuk memperlahankan langkah dalam pentas lakonan bukan disebabkan Linda. Sebaliknya ia datang daripada dirinya sendiri. Dan kebetulan pada saat dia mengendurkan tali 'anak wayang', dia masih di puncak dan serentak itu berkahwin.

HIDUP Que kini lebih bermakna selepas dikurniakan zuriat bernama Tengku Ratu Haidar.


Tegas aktor yang harum dengan kredibiliti lakonannya dalam sederet filem seperti Castello, Haru Biru, Zombie Kampung Pisang, Duhai Si Pari Pari dan terbaru dalam Lagenda Budak Setan, keputusan untuk memilih kehidupan yang lebih sederhana tanpa menonjol glamor seperti dahulu adalah pilihannya sendiri.

Barangkali, kerana keputusan itu telah mengheret spekulasi yang menuduh Linda banyak mempengaruhi kehidupan dan pemikirannya kini. Masih lagi tenang saat dilemparkan soalan sebegitu, Que berkata, dalam rumah tangga adalah normal untuk saling mempengaruhi antara pasangan. Pandangan Linda amat penting bagi dirinya, begitu juga sebaliknya.

Selepas berkahwin, akui Que, berlakon bukan lagi keutamaan. Tapi keluarga berada dalam piramid paling atas kehidupannya. Namun, itu tidak bermakna dia mahu karier lakonannya berkubur. Hanya kepentingan kehidupan sekarang bagi Que sudah mula berubah.

Terutama selepas dia sendiri yang bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Malah dengan hati terbuka dia mahu memastikan segala isi rumahnya lebih terurus. Dia juga dengan rela hati untuk tidak lagi keluar melepak atau sibuk mengejar duit lakonan seperti zaman bujang. Kerana kata Que, dia dengan lapang dada, selesa dengan kehidupannya yang tidak terlalu sibuk seperti dahulu lagi.

Katanya: "Saya tahu sukar untuk membuang pandangan orang. Mungkin orang nampak saya memperlahankan rentak dalam dunia lakonan selepas saya berkahwin sedangkan nama saya berada di puncak pada waktu itu.

"Jadi orang fikir, saya berhenti berlakon sebab Linda dan ramai yang mula terpengaruh dengan hal itu. Walhal, saya sebenarnya sudah lama memikirkan untuk memperlahankan rentak lakonan bagi memberi tumpuan kepada keluarga. Dalam masa yang sama, saya mencari ruang lain untuk berkongsi ilmu lakonan saya dengan sesiapa yang berminat."


SELEPAS bergelar suami dan bapa, karier lakonan bukan lagi dianggap suatu keutamaan seperti zaman bujangnya dahulu.


Que juga menegaskan, kehidupan rumah tangganya dengan guru tari popular dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, setahun enam bulan dan anak tiri Qalif Khan, 10 tahun, sangat bahagia.

"Linda memang seorang yang terlalu cerewet. Saya pula seorang yang terlalu asal boleh. Pertembungan sifat ini telah banyak menyatu dan saling melengkapi kehidupan kami. Kami juga senang beradaptasi dalam dua keluarga. Saya kira hal-hal seperti ini yang telah mengeratkan kasih sayang kami," katanya yang percaya Linda sentiasa menyokong serta menjadi tulang belakang dalam keadaan susah dan senang.

Bengkel Que

Sepanjang memperlahankan rentak lakonan, Que sebenarnya sedang memicu laju keupayaannya dalam bidang lain.

Mengaku tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pengarahan atau penulisan skrip seperti teman seperjuangan lain, Pierre Andre atau Farid Kamil, kata Que, dia tahu dia perlu melakukan sesuatu sebelum bakatnya tidak diperlukan lagi kelak.

"Jujur saya katakan, sebenarnya selepas melihat Farid Kamil atau Pierre Andre mula menjurus ke arah lain, selain berlakon, saya bertanya kepada diri sendiri, apa yang akan saya lakukan kalau saya sudah tidak laku lagi?

"Mengarah memang saya tak pandai. Pernah menulis satu skrip, tapi saya rasa skrip itu sangat teruk. Jadi saya menggali kualiti diri yang lain dan saya temui bahawa apa yang saya boleh kongsi dengan orang lain atau individu yang berminat dalam dunia lakonan adalah mengadakan bengkel lakonan atau memberi ceramah.

"Jadi sekarang, saya sebenarnya sibuk dengan bengkel lakonan yang saya buka di studio milik Linda selain mengadakan ceramah. Insya-Allah dalam masa terdekat ini, saya akan menyertai satu bengkel ceramah anjuran belia Johor Bahru.

"Sekurang-kurangnya, saya mahu memberi kembali kepada masyarakat dan berkongsi dengan mereka apa yang saya ada untuk sama-sama memajukan industri. Saya tahu saya mungkin tidak cukup bagus atau 'masak' untuk membuka bengkel, tapi saya percaya ilmu yang kita kongsi bersama-sama ini dapat memberi sesuatu yang lebih baik kelak," katanya panjang lebar.

Tambah Que, kesibukan menguruskan bengkel dan ceramah inilah yang menjadi faktor utama mengapa dia tidak lagi punya banyak masa untuk berlakon.

BAPA penyayang. Que kini diulit bahagia bersama dua anak tersayang, Tengku Ratu Haidar dan Qalif Khan.


Malah, tanpa disedari, dia telah mula membuka bengkel kepada teman-teman artis yang rapat dan berminat menyertainya sebelum dia berkahwin lagi. Hanya kini, dia semakin serius memberi fokus terhadap apa yang sudah dilakukannya sejak lebih setahun lalu.

"Macam yang saya katakan tadi, berlakon kini sudah bukan satu keutamaan berbanding zaman bujang dulu. Saya juga tidak lagi mementingkan kuantiti atau mahu terus-terusan muncul di layar lebar atau kaca televisyen supaya orang terus mengingati saya.

"Sebaliknya lakonan kini sudah menjadi satu hobi. Saya akan tetap berlakon. Tapi mungkin setahun satu atau dua filem, kalau masih ada tawaran. Saya mahu walaupun saya hanya berlakon satu atau dua filem setahun sahaja dan ia bukan watak utama sekali pun, kualiti yang saya bagi dalam lakonan saya memberi impak besar terhadap industri," katanya yang tahun hadapan hanya akan muncul dengan sebuah filem, Misteri Jalan Lama.


1 comment:

amar haziq said...

biasalah..asam garam perkahwinan;)

jenguk2 lah blog saya;)
http://amarhaziq-ceritasaya.blogspot.com/