Saturday, June 26, 2010

Cantek kan Lisa pakai tudung

Sejak kebelakangan ini nama pelakon muda berbakat besar, Lisa Surihani sememangnya sering diperkatakan di kalangan penggiat industri seni tempatan.

Lebih membanggakan, gadis berusia 24 tahun itu bukan menjadi perhatian kerana gosip cinta atau cerita peribadinya, sebaliknya kejayaan beberapa buah drama serta filem lakonannya seperti 'Adamaya' dan 'Lagenda Budak Setan' menjadikan Lisa antara bintang paling laris kini.

Berkesempatan bertemu dengannya yang kini dilantik sebagai duta produk kecantikan terkenal, Garnier, dia mengakui kejayaan yang dicapai bukanlah hasil jalan mudah.

Katanya seperti pelakon baru lain, dia juga pernah melalui kesukaran serta cabaran tersendiri apabila bergelar seorang anak seni.

"Di dalam kerjaya sebagai seorang pelakon, saya tidak pernah mengambil lebih daripada satu 'job' dalam satu-satu masa. Ini kerana saya mahu menjaga kualiti lakonan saya dan dalam masa yang sama sedar bukan mudah untuk memberikan komitmen kepada dua kerja serentak.

"Oleh sebab itu, saya agak selektif untuk menerima tawaran berlakon drama atau filem. Saya dan pihak pengurusan perlu melihat pelbagai aspek sebelum menerima sesuatu tawaran. Antaranya skrip, pengarah, produksi, watak, kesesuaian masa serta bayaran yang diberikan.

"Ini kerana saya tidak mahu kelihatan sama di dalam mana-mana filem atau drama yang saya lakonkan. Mungkin ada orang yang berpendapat prinsip saya ini merugikan diri sendiri kerana hanya berlakon di dalam sebuah drama pada satu-satu masa, tetapi apabila bercakap mengenai soal rezeki saya serahkan kepada Allah.

"Apa yang penting saya sentiasa berusaha untuk memberikan lakonan terbaik di dalam drama atau filem yang saya lakonkan. Malah dengan cara ini juga rasanya, bakat saya semakin dihargai," katanya yang kelihatan semakin cantik dan anggun.

Harap peminat tidak bosan
Bercerita mengenai penerimaan peminat terhadap dirinya, Lisa yang sebelum ini pernah membintangi iklan KFC, Hotlink, Pantene dan Rexona menjelaskan, dia gembira kerana peminat tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepadanya. Malah filem terbarunya, 'Lagenda Budak Setan' juga mendapat sambutan yang menggalakkan.

Diusik dengan persoalan tidak takutkah dia jika penonton bosan melihat kelibatnya di dalam drama serta filem, Lisa yang pernah mengacarakan program 'X Fresh TV', 'Down Memory Lane' serta 'Hello 2006' menyerahkan perkara tersebut kepada penonton.

"Sebenarnya susah nak memuaskan hati semua orang. Seperti yang saya beritahu tadi, saya hanya menerima satu tawaran dalam satu-satu masa. Secara kebetulan drama serta filem lakonan saya ditayangkan serentak.

"Apa yang menjadi masalahnya, jika saya jarang berlakon, orang akan cakap kehadiran saya tidak dirasai atau disedari. Tetapi apabila saya keluar dengan drama dan filem, orang akan cakap kemunculan saya terlalu kerap hingga membuatkan orang bosan.

"Namun apa yang boleh saya lakukan ialah sentiasa percaya kepada rezeki dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti lakonan saya dari semasa ke semasa dan berharap penonton tidak bosan.

Bercerita mengenai kerjaya seni terbarunya, Lisa yang pernah membintangi telemovie 'Ayah Kami', 'Goodbye Boys', 'Mystery 6' dan 'Obsesi' memberitahu, dia kini baru sahaja habis menjalani penggmbaran drama bersiri 'Tudung Ekspress'. Di dalam drama tersebut dia membawakan watak seorang wanita bertudung.

"Bertudung bukanlah satu masalah kepada saya. Ini kerana sebelum ini juga saya pernah membawakan watak bertudung. Malah di dalam beberapa program, adakalanya saya bertudung untuk menghormati majlis.

"Namun buat masa ini secara peribadi saya belum bersedia untuk bertudung. Apapun bertudung merupakan sesuatu yang baik dan dituntut oleh agama.

"Mengenai projek terbaru pula, selepas ini saya akan berehat sekejap dan akan terlibat dengan filem 'Ombak Rindu' yang juga diilhamkan daripada sebuah novel popular.

"Filem tersebut bakal diarahkan oleh pengarah hebat, Osman Ali dan saya akan bergandingan dengan Maya Karin yang menjadi peneraju utama," katanya yang memulakan kerjaya lakonannya melalui filem 'I’m Not Single'.

1 comment:

A-Y-I-E said...

jgn sekejp jer dah la