Thursday, June 24, 2010

Shahir AF8 dan Siti Nurhaliza

"Saya memang rasa sangat-sangat terkejut, teruja dan terharu apabila diberitahu oleh pihak Astro bahawa saya akan berduet dengan Dato' Siti Nurhaliza.

"Maklumlah saya orang baru dan Dato' Siti pula bukan sahaja sudah lama bergiat aktif dalam industri seni, malah pernah memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Saya anggap ini semua sebagai rezeki," ujar bekas juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir ketika ditanya mengenai perasaannya apabila dapat berduet dan berkongsi pentas dengan penyanyi tersohor negara tersebut.

Penyanyi yang semakin popular melalui lagu "Kebahagiaan Dalam Perpisahan" itu bekerjasama dengan Siti bagi menjayakan program raya 'Lebaran Diva Dato' Siti Nurhaliza yang dirakamkan di Studio 1, Astro baru-baru ini.

Shahir juga berterus-terang memberitahu dia terasa begitu kecil ketika menyanyi bersama-sama dengan Siti. Akibatnya, dia melakukan beberapa kesilapan sehinggakan proses rakaman terpaksa dilakukan beberapa kali.

"Memang saya terasa gugup. Mujurlah Dato' Siti seorang yang profesional dan banyak membantu saya. Saya juga sebenarnya takut untuk berdiri dekat dengan Dato' Siti kerana rasa rendah diri, sehinggalah Dato' Siti meminta saya berdiri dekat dengannya ketika berduet menyanyikan lagu "Ketika Cinta Bertasbih" supaya kelihatan lebih cantik di dalam kamera.

"Ini boleh dikatakan sebagai pengalaman paling indah selama saya bergiat di dalam industri seni. Kalau anda semua nak tahu, inilah juga kali pertama saya bertemu dengan Dato' Siti dan mendengar dia menyanyi secara 'live'. Ini kerana sebelum ini saya hanya dengar di radio atau menonton persembahannya di televisyen. Apapun saya memang sangat kagum dan menghormati Dato' Siti," ujar Shahir.

Tambahnya, jika ada peluang sebegitu pada masa yang akan datang, dia pasti tidak akan melepaskannya.

Siti selesa dengan Shahir & Akim
Sementara itu, Siti ketika mengulas perkara tersebut memberitahu, dia rasa selesa bekerjasama dengan Shahir dan menganggap Shahir sebagai antara penyanyi baru yang berbakat besar.

"Sebenarnya di dalam program rakaman seperti ini melakukan sekali dua kesilapan merupakan satu perkara yang normal. Malah saya yang sudah lama menyanyi pun adakalanya terlupa lirik atau melakukan kesilapan-kesilapan yang lain.

"Jadi saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan penyanyi baru atau lama. Sekurang-kurangnya kemunculan penyanyi baru di dalam program seperti ini memberi kelainan serta pengalaman kepada mereka," katanya.

Selain Shahir, Siti turut bergandingan dengan Akim di dalam program tersebut.

Ditanya mengenai pemilihan lagu, Siti menyatakan untuk lagu solo dia memberikan plihan kepada artis undangannya itu untuk membuat pilihan sendiri. Manakala untuk lagu duet atau trio mereka bertiga akan berbincang bersama bagi mencari lagu yang benar-benar sesuai dengan gandingan vokal mereka bertiga.

Dalam program tersebut, Siti menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti "Debaran Cinta", "Bukan Cinta Biasa", "Hanya Dia" serta "Air Mata Syawal". Manakala Shahir dan Akim masing-masing menyanyikan lagu "Kebahagiaan Dalam Perpisahan" dan "Inikah Cinta". Tidak ketinggalan mereka bertiga bergabung menyanyikan medley lagu "Malam Bulan Dipagar Bintang", "Puisi Cinta" dan "Indahnya Beraya Di Desa".


No comments: