Monday, August 23, 2010

Saya nak kawin : Iqram Diznly

Iqram Dinzly kongsi keinginannya untuk berkahwin dan bergelar bapa.

"Saya nak kahwin, nak anak. Tiga tahun saya hidup bersendirian. Saya rasa kesunyian. Di rumah, pokok-pokok saya menjadi tempat saya bercerita," luah Iqram Dinzly bila ditemui GUA selepas sidang media filem terbaru arahan Mamat Khalid, 'Apokalips'.

"Soal calon, biar ibu saya yang pilih. Saya sudah pun sampaikan hajat saya pada ibu. Saya percaya pada pilihan ibu. Apa yang penting dalam sesebuah perkahwinan adalah restu daripada ibu bapa. Bakal isteri saya nanti bukan saja berkahwin dengan saya tetapi juga keluarga saya."

Kepada soalan mengapa tidak dicari sendiri seorang teman hidup, Iqram hanya memberitahu dia tidak mahu dikecewakan lagi. Sebelum menambah, "Bercinta itu membuang masa."

Meskipun teringin hendak berkahwin dan berkeluarga, namun Iqram mengakui dirinya juga fobia dengan kisah-kisah cerai dan orang ketiga yang berlaku di sekelilingnya. Kerana itu, dia tidak akan terburu-buru membuat keputusan.

"Semuanya akan dikaji dengan betul-betul. Saya tak nak kahwin banyak kali, cukuplah hanya sekali dalam hidup. Saya pun tak mahu menjadi lelaki yang dayus. Saya nak jadi lelaki yang sederhana."

Mencari seorang isteri yang pandai membawa diri, Iqram yang mengakui dirinya seorang yang kuat cemburu, memberitahu bakal isterinya bukan saja teman hidupnya tetapi juga teman rapat dan pembantu peribadinya.

Tatkala ditanya jika keinginannya untuk berkahwin disebabkan 'teman baiknya' Fouziah Gous dikhabarkan sudah menemui seorang kekasih di dalam hidupnya, Iqram menjelaskan dia tumpang gembira atas kebahagiaan yang ditemui Fouziah.

Berdiam untuk mencari nafas baru
Menyentuh tentang Fouziah, sejak kebelakangan ini timbul cakap-cakap nakal bahawa Iqram telah membawa diri, gara-gara kehadiran kekasih baru Fouziah. Ini ekoran dari 'kehilangan' aktor itu dari mata umum.

Bila diusik dengan persoalan itu, Iqram menjelaskan dia sebenarnya tidak menghilang, sebaliknya mencari ruang untuk berfikir tentang langkah seterusnya sebagai anak seni.

"Saya berdiam supaya dapat nafas baru. Saya bukan 'down', cuma bosan dengan segelintir keadaan. Mengapa saya asyik buat benda yang sama bila saya sebenarnya cepat bosan dengan benda yang sama?

"Saya mencari ruang untuk bertanya, 'Iqram Dinzly nak ke mana selepas ini?' Adakah setakat itu saja pencapaian kerjaya saya atau saya nak pergi jauh lagi? Ataupun saya nak menghilang saja? Tetapi saya cintakan seni ini. Saya tak akan kuburkan. Saya tak akan mengaku kalah."

Dalam tempoh 'berdiamnya’ itu, Iqram ditawarkan watak Razor dalam 'Apokalips', karya dan arahan terbaru Mamat Khalid yang menjanjikan satu kelainan yang belum pernah dilihat dalam karya seni tempatan, Buat Iqram, inilah nafas baru yang dinanti-nantikannya.

"Bila saya mendapat watak Razor, ia satu suntikan semangat. Razor mengubah hidup saya. Ia menyelamatkan diri saya dari jauh dihanyut di alam lain. Untuk Razor, saya mengubah imej dan perwatakan saya. Dalam tempoh saya kononnya ‘menghilang’ itu, saya sebenarnya berlatih berlawan kerana tiada asas dalam ‘martial arts’.”

1 comment:

Syed Nizam Syed Omar said...

kat sini ada cerita artis yang panas..heheh.selamat hari raya.