Friday, September 24, 2010

Potong gaji wajib mulai 2013


CADANGAN potongan gaji melalui LHDN untuk bayaran balik wang PTPTN hanya membabitkan peminjam baru. - Gambar hiasan


SINTOK - Pelaksanaan skim pemotongan gaji wajib menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mungkin dilaksanakan pada tahun 2013.

Skim itu bagaimanapun hanya membabitkan pelajar yang mula mendapat pinjaman tahun ini manakala bayaran balik untuk peminjam lama masih mengikut kaedah sedia ada.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, skim itu memerlukan kajian serta rundingan sehingga pertengahan tahun depan sebelum ia dibentangkan ke Kabinet untuk kelulusan.

Katanya, jika ia dilaksanakan, pelajar baru yang telah mula mendapat pinjaman PTPTN tahun ini akan diberi terus nombor fail cukai oleh LHDN.

"Ini bermakna apabila pelajar tamat pengajian dan bekerja mulai 2013, bayaran pinjaman dijelaskan menerusi potongan gaji,'' jelasnya pada sidang akhbar selepas mengadakan program ziarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) serta jamuan Aidilfitri di sini semalam.